Sejarah Sekolah

Sekolah ini merupakan sekolah swasta terbesar di Bandar Seri Begawan telah ditubuhkan pada tahun 1922 oleh masyarakat Tiong Hwa Negara Brunei Darussalam. Sejarah penubuhan sekolah ini telah mencapai 80 tahun. Sekolah ini mengutamakan tiga bahasa iaitu bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Sistem pendidikan di sekolah ini adalah selaras dengan system pendidikan Negara Brunei Darussalam. Kedudukan sekolah yang terletak di tengah-tengah ibu negara Brunei Darussalam, telah memudahkan para pelawat untuk mengunjungi sekolah ini.

Sekolah ini mempunyai tiga blok bangunan yang terdiri daripada enam puluh buah bilik darjah, makmal sains, dewan tadika, bilik koperasi, kantin, bilik muzik, bilik komputer, bilik persidangan, klinik pergigian, bilik AVA dan pusat siber. Sekolah ini juga mempunyai dewan sekolah yang dapat menampung lebih daripada 2000 orang pelajar. Dewan ini digunakan untuk perhimpunan sekolah, persembahan konsert, kelas pendidikan jasmani, kegiatan sukan dan permainan. Perpustakaan sekolah juga disediakan dan dapat menampung 300 orang pelajar dengan bilangan buku sebanyak 40,000 buah. Sekolah ini juga mempunyai padang sukan termasuk padang bola sepak, gelanggang bola tampar dan bola keranjang. Sekolah ini juga menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada para pelajar dan guru di dalam kawasan sekolah.

Sekolah ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Bilangan pelajar pada masa ini lebih kurang 3,500 orang dan bilangan guru sarta kakitangan sekolah lebih kurang 200 orang.

Sumber kewangan sekolah datangnya daripada yuran sekolah para pelajar, wang simpanan tetap sekolah dan sumbangan serta derma daripada masyarakat Tiong Hwa di negara ini. Sekolah ini mempunyai 29 orang ahli Lembaga Pengarah Sekolah yang mempunyai kuasa tertinggi untuk mentadbir sekolah ini. Sebagai sekolah bukan kerajaan, sekolah ini turut bertanggungjawab untuk menyediakan pendidikan yang bermutu.

 


 

copyright reserved @ CHMS 2003