Penggunaan internet yang semakin popular telah membolehkan kita memperoleh sesuatu maklumat dengan cepat dan mudah. Menyedari akan pentingnya internet serta sebagai satu persediaan untuk menghadapi proses globalisasi yang memperlihatkan perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat, maka sekolah ini telah menubuhkan laman webnya yang tersendiri sejak tahun 1998 lagi. Antara matlamat utama adalah untuk mengembangkan proses pengajarannya sehingga dapat menembusi pendidikan global di samping meningkatkan tahap pengurusan serta pentadbiran dalam bidang pengajaran.

Selain daripada itu, penubuhan laman web SMCH juga adalah sebagai satu alat sokongan terhadap proses pendidikan, iaitu dengan berpandukan jaringan maklumat yang terdapat dalam internet untuk meningkatkan kualiti kerja serta melakukan pembaharuan terhadap proses pengajaran.

Penubuhan laman web bukan saja memberi ruang kepada pihak sekolah untuk berinteraksi dengan piak-pihak luar, ia juga membolehkan pihak sekolah menyampaikan maklumat tentang proses pengajaran pelajar-pelajarnya kepada ibu bapa dengan segera agar pihak ibu bapa dapat mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah.

Pada masa ini, laman web SMCH mempunyai tiga versi, iaitu versi Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris. Antara bahan-bahan yang dipaparkan dalam laman web ini adalah seperti rancangan pengajaran setahun guru-guru, perkembangan proses pengajaran, bahan-bahan pengajaran, maklumat asas tentang para pelajar, keputusan para pelajar, struktur pentadbiran sekolah dan aktiviti-aktiviti sekolah.

Akhir sekali pihak sekolah mengalu-alukan pihak yang prihatin terhadap pendidikan agar memberi pendapat dan tunjuk ajar supaya laman web SMCH dapat berfungsi dengan lebih berkesan lagi.

copyright reserved @ CHMS 2003