|
Boleh
dikatakan bahawa di setiap pelusuk dunia ini, ada saja orang
Tiong Hwa. Mereka berasal dari tanah besar China dan kemudian
berhijrah ke merata tempat di dunia ini, termasuk Negara Brunei
Darussalam. Orang Tiong Hwa yang menetap di negara ini bukan
saja bertungkus-lumus untuk mencari rezeki, pada masa yang sama
mereka turut mengembangkan budaya mereka agar tidak dilupakan
oleh generasi baru, termasuk pendidikan Tiong Hwa. Sikap orang
Tiong Hwa yang begitu sayangkan pendidikan ibunda mereka harus
dipuji dan diberi penghormatan yang tinggi.
Sekolah Tiong Hwa di negara ini
boleh bertapak dan berdiri teguh sehingga kini adalah disebabkan
dasar terbuka yang diamalkan oleh kerajaan negara ini, sejak
dari zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali
Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang telah memberikan
kebenaran kepada masyarakat Tiong Hwa untuk mengendalikan
sekolah Tiong Hwa. Kita semua juga patut berterima
kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sulan dan Yang Dipertuan
Negara Brunei Darussalam yang meneruskan dasar terbuka terhadap
pendidikan Tiong Hwa. Atas dasar terbuka inilah yang membolehkan
Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB dapat berkembang dari semasa ke
semasa hingga dapat mencapai kejayaan yang cemerlang pada hari ini.
Sekolah Tiong Hwa di negara ini dikendalikan mengikut dasar
pendidikan negara. Di samping menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar utama, pada masa yang sama,
sekolah Tiong Hwa juga mengajar Bahasa Tiong Hwa dan menggunakan
Bahasa Mandarin.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara
Brunei Darussalam ke sekolah ini dan merasmikan ulang tahun ke-80
penubuhan sekolah ini telah menjadi satu kebanggaan di samping
mengukir satu lembaran baru dalam sejarah sekolah ini.
Sekolah ini bukan saja mencapai pelbagai kejayaan dalam bidang
akademik, malah sekolah ini juga telah menjadi perintis dalam bidang
teknologi maklumat. Sekolah ini telah memulakan kursus komputer
untuk bahagian menengah dan memperkenalkan sistem komputer untuk
bahagian pentadbirannya pada tahun 80-an. Bermula dari tahun 1998,
kursus komputer untuk darjah satu telah diperkenalkan, ini diikuti
oleh pembinaan makmal komputer serta makmal bahasa dan multimedia.
Pada tahun 2002, sekolah ini telah menubuhkan pusat siber bertempat
di perpustakaan sekolah. Ini telah menjadikan sekolah ini sebagai
sekolah pertama di negara ini yang mempunyai pusat siber yang
tersendiri. Semua ini telah menunjukkan bahawa sekolah ini begitu
menitikberatkan bidang teknologi maklumat agar ia dapat bergerak
seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.
Sekolah ini juga telah memiliki laman web yang tersendiri sejak dari
tahun 1998 lagi. Pada tahun berikutnya, isi kandungan laman web
telah dipelbagaikan untuk membolehkan para ibu bapa mengikuti
perkembangan proses pembelajaran anak-anak mereka di sekolah. Mulai
tahun 2002, semua guru di sekolah ini telah memiliki laman web
masing-masing untuk membolehkan para ibu bapa menyemak dan
mengetahui rancangan pengajaran serta isi kandungan pengajaran para
guru. Pada tahun ini, untuk menjadikan laman web sekolah ini lebih
menarik dan berkesan, maka diperkayakan lagi isi kandungannya dan
yang terbaru, mewujudkan laman web dalam tiga bahasa utama, iaitu
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina supaya memudahkan
para ibu bapa yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk melayarinya.
Seperti yang selalu saya tegaskan sebelum ini, proses pembelajaran
merupakan satu proses yang tidak ada batasannya. Dalam zaman sains
dan teknolgi yang berkembang begitu pesat ini, kaedah pengajaran
secara tradisional tidak mampu lagi untuk memenuhi keperluan
masyarakat kini. Oleh itu, sekolah ini sangat menitikberatkan
perkembangan dalam bidang teknologi maklumat kerana ini akan
membolehkan para guru dan pelajar menimba ilmu bukan saja dari bahan
bacaan, tetapi juga membolehkan mereka menggunakan kaedah baru dalam
bidang teknologi maklumat sebagai bahan tambahan untuk memperoleh
maklumat serta sebagai alat bantuan pengajaran.
|